Saturday, 9 April 2016

KENYATAAN MEDIA MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI MALAYSIA: KEPUTUSAN KERAJAAN BERKENAAN PERMOHONAN RM1.5 BILLION DARI PROTON

1. Kerajaan hari ini meluluskan permohonan PROTON untuk mendapat pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion. Pinjaman ini adalah sebahagian besarnya untuk membolehkan PROTON membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

2. Kerajaan juga bersetuju supaya beberapa syarat dikenakan untuk memulihkan perniagaannya. Di antara syarat-syaratnya ialah PROTON perlu meyakinkan Kerajaan tentang model perniagaan baharunya supaya perniagaannya berdaya maju dan berdaya saing. Secara khususnya, PROTON di antara lain perlu melaksanakan perkara-perkara berikut:

(a) mewujudkan pelan penstrukturan semula PROTON (turnaround plan);

(b) menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara; dan

(c) mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam R&D dan menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

3. Sebuah Pasukan Petugas diketuai oleh Dato’ Sri Idris Jala, Ketua Eksekutif PEMANDU akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.  Pasukan ini akan mempunyai 3 wakil dari sektor swasta dan 3 wakil lagi dari sektor awam. Wakil-wakil Kerajaan adalah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Unit Perancang Ekonomi; manakala, wakil-wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin.

4. Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, Pasukan Petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan PROTON pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan serta langkah-langkah untuk mengatasinya.

5. Kerajaan sedar bahawa industri automotif adalah sebuah industri yang strategik. PROTON mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung, dan kira-kira 50,000 orang lagi yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada PROTON.

6. Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan PROTON.

Dato’ Sri Mustapa Mohamed
8 April 2016

"Tanpa diketahui sebabnya, penjualan kereta Proton terus merosot."

Itu yang dinyatakan oleh Tun Mahathir semalam. Kenyataan ini sukar untuk kita fahami kerana beliau sebelum ini ialah penasihat dan pengerusi eksekutif Proton. Sebagai pengerusi, beliau patut lebih tahu kenapa jualan Proton menjunam.

Malaysia adalah sebuah negara kecil tetapi tahukah anda bahawa negara kita ada dua projek kereta nasional, iaitu Proton dan Perodua? Siapa yang buat dasar ini? Jika Perodua berjaya, ia juga kereta nasional. Kira-kira 50% saham Perodua dimiliki secara langsung oleh PNB, ia mencatat keuntungan besar dan mampu membayar dividen kepada pemegang saham. Satu projek kereta nasional berjaya, satu lagi menghadapi cabaran. Sebagai sebuah negara kecil, dasar menetapkan dua projek kereta nasional adalah tidak wajar.

Masihkah anda ingat bahawa Proton pernah mendapat keuntungan yang besar? Ia amat berjaya satu ketika dahulu sehingga dapat membeli sebuah bank iaitu EON Bank.

Kita semua maklum bahawa kejayaan Proton bukan semata-mata kerana keretanya terbaik tetapi kerana perlindungan dalam bentuk duti import dan eksais yang lebih tinggi yang dikenakan ke atas kereta-kereta lain, sehingga perbezaan harga kereta Proton dengan kereta lain mencecah puluhan ribu Ringgit walaupun dalam kategori CC yang sama.

Tiada siapa yang menafikan bahawa Proton membayar cukai, tetapi syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Perodua, Mazda, Mercedes, Toyota dan Honda juga membayar cukai, duti eksais, cukai koporat dan GST. Mereka juga menyumbang kepada hasil negara tetapi ia tidak bermakna mereka berhak mendapat Bailout atau bantuan kerajaan tanpa sebarang syarat.

Izinkan saya memberi satu contoh. Jika harga kereta anda sepatutnya RM50,000  tetapi disebabkan perlindungan yang diberikan kepada Proton, harganya adalah RM100,000.  Jika anda meminjam RM90,000 untuk tempoh 9 tahun pada kadar faedah 4%, anda membayar RM32,400 untuk kadar faedah sepanjang tempoh pinjaman. Sebaliknya, jika pinjaman anda RM45,000 untuk tempoh 9 tahun pada kadar 4%, anda hanya membayar RM16,200.

Oleh kerana perlindungan kepada Proton dan harga kereta mahal, anda sebenarnya membayar RM132,400 dan bukannya RM66,200. Ini bermakna jika tiada dasar perlindungan, anda akan mempunyai wang lebih dalam poket sebanyak RM66,200. (RM132,400 – RM66,200).

Ada pihak yang membuat analisa sejak Proton telah ditubuhkan, pengguna telah membayar kira-kira RM300billion dalam bentuk cukai untuk kereta yang mereka beli dan kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman yang lebih besar. Ini bermakna pengguna Malaysia telah membayar RM10billion setahun untuk membantu Proton.  Ini adalah pengorbanan pengguna Malaysia. Sekiranya Proton bukan projek nasional, pengguna akan mempunyai wang yang lebih untuk tujuan perbelanjaan lain. Seperti contoh di atas, pengguna terbeban dengan RM66,200 bagi setiap kereta yang mereka beli untuk tempoh 9 tahun.

Tahun lepas, Tun Mahathir pernah berkata -  “Harga kereta asing lebih tinggi perlu, untuk mengukuhkan Proton”. Adakah Tun Mahathir mahu rakyat terus menanggung beban kewangan ini?