Sunday, 27 September 2015

Mufti Perak saran mansuh sekolah vernakular

BANGI, Rabu – Dalam usaha memecahkan sentimen perkauman di negara ini, pemansuhan sekolah vernakular dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian terbaik.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, cadangan tersebut telah dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri Kabinet yang lain.
Bagaimanapun, menurutnya disebabkan kaum lain meminta supaya perkara itu ditangguhkan, maka sehingga hari ini sekolah-sekolah tersebut tidak beroperasi.
“Yang jadi masalah, saya dah tegur daripada dulu, saya dah jumpa perdana menteri dan saya dah jumpa menteri semua. Saya kata, masa kemerdekaan dulu, perjanjiannya sekolah hanya satu iaitu sekolah kebangsaan.
“Sekolah Cina akan ditutup dalam masa enam bulan, sekolah India juga akan ditutup dalam masa enam bulan. Semua bersetuju pada masa itu. Tetapi oleh kerana Cina minta tangguh, kita pun kata ya, ya, ya sampai sekarang,” katanya, lapor Sinar Harian.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan tindakan pemimpin kerajaan yang sering memberi muka kepada kaum lain untuk memerintah.
“Saya tanya kepada Najib, kalau sudah Cina dan India tidak mahu kerjasama dengan kita, kenapa kita pujuk? Dia (Najib) kata kita takut kalah. Sekarang pun kita kalah dah.
“Kenapa mesti nak lantik menteri Cina? Tak perlu ada menteri Cina, biar Melayu memerintah, kita tunjuklah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengambil contoh Singapura yang membubarkan sekolah Melayu dan Cina sehingga menjadikan peradaban rakyat di negara jiran itu lebih baik berbanding di negara ini.
Tambahnya, jika sistem satu aliran ini diperkenalkan, masyarakat bukan Melayu di Malaysia akan menjadi seperti masyarakat di Indonesia dan Thailand yang bertutur menggunakan bahasa kebangsaan.

KAWEGOMO- Amat bersetuju dengan kenyataan dan saranan TSHZ. Sepatutnya sekolah satu aliran dilaksanakan sejak dahulu lagi. Setelah 58 tahun merdeka, hubungan antara kaum di Malaysia yang sepatutnya lebih utuh nampaknya terjadi sebaliknya. Transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan segera sebelum terlambat. Konsep 1 Malaysia dalam bidang pendidikan akan tercapai sekiranya sekolah vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan sekolah SATU ALIRAN.

No comments:

Post a Comment