Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini kerajaan negeri itu ko­nonnya sering memperjuangkan isu-isu kemanusiaan tetapi sekarang enggan pula menerima pelarian.
“Tentu kita mahu melihat keikhlasan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP dan dianggotai PKR dan Pas kerana selama ini mereka menjadi pejuang isu-isu kemanusiaan dan sentiasa menyalahkan Kerajaan Pusat kononnya tidak melaksanakan dasar kemanusiaan bagi menerima pelarian berkenaan.

“Kita yakin Kerajaan Pusat cukup ikhlas untuk membina penempatan sementara pelarian berkenaan berbanding kerajaan negeri yang kononnya jaguh pejuang kemanusiaan sejagat tetapi jelas cuma sekadar kokok ayam jantan yang tidak ada telurnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Stadium Mini Penjara Kajang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik bagi dijadikan pe­nempatan sementara 7,000 pelarian Rohingya yang masih terdampar di perairan antarabangsa.
Kata Khalid, Pulau Pinang dilihat sesuai kerana dekat dengan perairan tersebut untuk mendirikan pusat penempatan sementara bagi memudahkan semua agensi menguruskan pelarian berkenaan.
Bagaimanapun, Guan Eng hari ini dilaporkan mahu pelarian ditempatkan di tanah milik Kerajaan Persekutuan dan bukannya di tanah kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan sedang mencari tanah milik Kerajaan Persekutuan yang sesuai di Pulau Pinang bagi menempatkan pelarian Rohingya yang masih berada di laut.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan menentukan mana-mana lokasi di tanah milik kerajaan pusat yang difikirkan sesuai di negeri berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) bekerjasama dengan Malaysia dalam isu pelarian berkenaan.
“Kami ingin memberitahu masyarakat antarabangsa, terutamanya UNHCR dan IOM bahawa apa yang kita lakukan sekarang adalah yang terbaik. Kami berharap mereka tidak hanya memberikan kad UNHCR kepada mereka tetapi akhirnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas Malaysia.

“Kami berharap mereka juga akan membantu memandangkan kos untuk memberi makan seorang pelarian setiap hari berjumlah RM6.50. Itu adalah perbelanjaan yang besar,” jelasnya.