Monday, 26 January 2015

Bangkitlah wahai umatku !!!

DAHULU, orang tidak berani banyak bercakap, apatah lagi mencabar perkara berkaitan Islam, Melayu dan raja, kerana mereka tahu, ia sangat sensitif. Mereka faham asal-usul sejarah negara ini.

Hari ini, tidak lagi. Semua mereka tidak peduli. Ramai yang menjadi ultra kiasu. Ultra kiasu tahu Melayu hari ini sudah terlalu lemah. Bukan sahaja disebabkan perpecahan yang serius, tetapi ramai orang Melayu liberal sendiri yang akan menyokong tindakan dan bersekongkol dengan mereka.

Jika mereka mahukan LGBT atau perkara yang bertentangan dengan agama dan Perlembagaan, pasti akan ada Melayu liberal yang akan bersama mereka. Maka, kesempatan ini perlu diambil sebelum terlambat.

Ada yang dengan mudah menyalahkan Umno. Hubungan kaum tegang disebabkan Umno. Ekonomi gawat kerana Umno. Perkasa dan Isma wujud disebabkan Umno. Pendek kata, semuanya ini berlaku disebabkan oleh Umno. Umno jahat. Seolah-olah, bila tiada Umno, semua akan menjadi baik.

Pada saya, keadaan ini berlaku disebabkan oleh wujudnya sikap atau kumpulan ultra kiasu. Sarawak hari ini kecoh disebabkan oleh ultra kiasu masuk di sana. Peliknya, saya diharamkan, ultra kiasu dibenarkan. Siapakah yang mensensasikan berita Sarawak mahu keluar dari Malaysia, kalau bukan gara-gara ultra kiasu.   

Lebih dahsyat lagi, perkara kecil yang langsung tiada kaitan dengan cara hidup Islam pun turut dicabar. Misalnya, isu kecil, usaha Kerajaan Kelantan yang melakukan operasi ke atas golongan pekerja wanita yang tidak mengenakan tudung di bandar Kota Bharu.

Ultra kiasu mendakwa perniagaan orang Cina akan terjejas dengan pemakaian tersebut. Persoalannya, berapa kerat orang Cina ada di Kelantan? Apa yang terjejas? Yang ditutup hanya kepala, bukan diikat tangan dan kaki? Kebersihan terjamin.

Paling kurang, rambut tidak gugur ke dalam makanan. Sebab itu, tukang masak, kepalanya ditutup.

Teruja saya dengan kenyataan Puteri Umno menyokong langkah Kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita memakai tudung. Inilah yang kita mahu lihat, yang baik disokong, sebaliknya yang tidak baik ditentang. Tidak kira datang daripada siapa atau parti mana pun.

Berbeza sungguh dengan Thailand, dahulu sehingga ke hari ini tiada siapa berani mengutuk agama Buddha, bangsa Thai, dan Raja Thai. Sabit kesalahan penjara 15 tahun. Kerana apa?

Mereka ada will-power. Bukan itu sahaja, hari Krismas adalah hari bekerja, bukan cuti umum, walaupun agak ramai juga beragama Kristian di sana. Logiknya, perlulah bercuti sebagai menghormati agama lain. Tetapi ia tidak berlaku. Tidak pula dituduh ekstrem.

Justeru, saya amat musykil, bila mana isu kalimah ALLAH ini tidak dapat dirayu lagi, golongan ultra kiasu mendakwa, agama minoriti akan ditindas atau dikekang.

Mana ada bukti dalam dunia, agama (bangsa) yang sangat minoriti, boleh mendapat hak yang begitu banyak kecuali di Malaysia? Rumah ibadat paling banyak? Terbesar? Tertinggi? Ia hanya berlaku di Malaysia. Hargailah toleransi ini.

Janganlah ambil contoh rumah ibadat. Lihatlah stesen radio, TV, akhbar, majalah dan lain-lain. Semua yang lebih adalah bukan Melayu. Ini belum termasuk sektor ekonomi.

Akhbar utama Melayu, hanya ada 3, termasuk Sinar Harian. Selebihnya berpuluh akhbar bukan Melayu.

Cuma, umat Islam ada lebih sedikit dalam sektor perkhidmatan awam dan GLC. Itu pun semua mahu direbut. Peliknya, sektor polis dan tentera, yang melibatkan risiko nyawa, tidak pula menjadi rebutan.

Terbaharu, ultra kiasu mendesak sekolah vernakular distatuskan sekolah bestari atau sekolah berprestasi tinggi. Tidak bestari lagi kah sekolah mereka, semua kelengkapan lebih daripada mencukupi. Selain daripada bantuan penuh kerajaan, parti politik dan jutawan mereka turut membantu.

Kenapa Melayu dan Islam tidak terdaulat. Kenapa semua menjadi tunggang-langgang?

Pertama, orang Melayu Islam itu sendiri tidak mahu ke arah itu. Melayu sudah jauh dari ikatan Melayu. Bila Melayu menjadi moden, mereka mahu agama turut moden sama, mengikut nafsu mereka.

Ada yang berpandangan, jika berpegang kepada Islam, mereka tidak akan ke mana-mana. Melayu perlu moden dan liberal, baru boleh maju.

Kedua, cara orang Melayu berpolitik amat merugikan. Untuk kekalkan kuasa, mereka akan lakukan apa sahaja, termasuk menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. Asalkan dapat berkuasa, kita akan beri apa sahaja, termasuk perkara yang menjadi milik kita.  

Melayu sanggup korbankan jawatan Kabinet, kerusi Dun dan Parlimen untuk memenuhi kepuasan orang lain, walaupun mereka tidak ada majoriti atau menang atas tiket orang Melayu.

Ketiga, sebenarnya orang Melayu terlalu baik. Kebaikan ini dibalas dengan sifat ultra kiasu, bukan dengan pantun yang berbunyi, Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.  

Akhirnya, saya menyeru kepada orang Melayu Islam, bangkitlah sebelum terlambat!


RIDHUAN TEE ABDULLAH
* Penulis ialah pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA



Saturday, 24 January 2015

Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2015 Online

Permohonan baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 / BR1M 4.0 dan kemaskini maklumat BR1M bagi penerima sedia ada boleh dibuat mulai 1 Disember 2014 sehingga 31 Disember 2014.
[Terkini] Tarikh tutup permohonan dan kemaskini BR1M 2015 telah dilanjutkan kepada 31 Januari 2015.

Penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar sekali lagi, sebaliknya hanya perlu mengemaskini maklumat peribadi termasuk alamat terkini, maklumat ahli keluarga, akaun bank (akaun simpanan atas nama pemohon sahaja) dan juga penama bagi Skim Khairat Kematian (untuk kategori Isi Rumah dan Warga Emas sahaja).

Cara memohon dan kemaskini BR1M

Proses permohonan baharu BR1M dan pengemaskinian maklumat BR1M boleh dibuat dengan mengisi borang BRIM secara online melalui portal rasmi eBR1M Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) iaitu di pautan:
Proses itu juga boleh dibuat secara manual dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01) atau Borang Kemas Kini. Borang BR1M yang siap diisi boleh dikembalikan ke mana-mana cawangan atau Pusat Khidmat Hasil atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM atau pejabat daerah.
Kegagalan menghantar permohonan atau mengemaskini BRIM 2015 sehingga tarikh tutup 31 Januari 2015 akan menyebabkan permohonan tidak diproses.