Nik Abduh Nik Aziz
Nik Mohamad Ab­duh berkata, seruan daripada pemimpin DAP untuk kedua-dua parti mengamalkan konsep kesederhanaan atau wa­­satiyyah juga di­­buat dengan menolak hukum serta syariat Islam.
“DAP menyeru Pas berwasatiyyah bersama-samanya dengan menolak hukum syariat Islam. Nampaknya misi baharu DAP sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah berusaha mengubah hala tuju Pas. Banyaknya kerja DAP sekarang ini. Rasa macam dah jadi Polis Malaysia pula,” katanya melalui laman Facebook hari ini.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, resolusi tersebut tidak akan menghalang hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan di negeri itu.
Takiyuddin berkata, DAP boleh meluluskan apa sahaja resolusi di dalam parti itu, namun tidak mempunyai hak untuk memaksa Pas menurutinya kerana setiap parti mempunyai dasar masing-masing.
“Mana-mana parti termasuk DAP boleh buat apa sahaja pendirian tetapi itu tidak bermaksud parti lain kena setuju. Anda bebas untuk bercakap tetapi jangan paksa orang lain untuk menurutinya.
“Kerajaan Pas Kelantan mahu melaksanakan hukum hudud, jadi DAP jangan masuk campur. Lebih baik fokus kepada Pulau Pinang terutama orang Melayu di situ dengan memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga,” katanya.