Wednesday, 14 May 2014

ISU TERENGGANU: SELESAI DENGAN CARA BIJAKSANA DAN TERBUKA


Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menarik balik surat keluar Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepadanya.

Malah Ahmad yang juga ADUN Kijal turut sama berbuat demikian kepada Najib.

"Beliau minta maaf kepada saya atas salah faham itu dan saya minta maaf atas kelakuan saya," katanya dalam sidang media di kediamannya di Kemaman petang ini.

Secara khususnya, Ahmad berkata bahawa beliau memaafkan Najib ekoran salah faham berkaitan dengan majlis perkahwinan anak perempuannya itu.

"Najib fikir perkahwinan itu berakhir pada 10 Mei, tetapi sebenarnya ada satu lagi majlis pada 17 Mei dan satu lagi pada 31 Mei di Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Ahmad, perkahwinan anak perempuannya merupakan maruahnya dan beliau meletak jawatan dari Umno kerana keengganan Najib menghormati permintaannya.

"Kami saling minta maaf jadi saya pun buat keputusan tarik balik peletakan jawatan sebagai ADUN Kijal Umno. Begitu juga Ghazali Taib.

"Jadi kes ini selesai dan kami juga kekal sebagai ADUN Umno, semuanya selesai. Ini sahaja," katanya.(malaysiakini).


Komen: 

Akhirnya kemelut politik yang melanda terengganu selesai apabila kedua-dua pihak menunjukkan kematangan berpolitik.


Kawegomo merasa kagum dengan sikap kepimpinan yg ditonjolkan oleh YAB DS Najib kerana berani memohon maaf atas ketidak sengajaanya terhadap DS Ahmad Said.


Walaupun sikap DS Ahmad Said boleh dianggap keterlaluan dalam memberi tindak balas terhadap situasi semasa.Namun sebagai PM, DS Najib berjaya mengawal dan memperbetulkan kembali suasana "panas" yg melanda kerajaan negeri Terengganu.

Kawegomo juga menzahirkan penghormatan kepada DS Ahmad Said kerana cepat "sejuk" dalam mengawal emosinya.

Sikap sebegini perlu ada pada setiap pejuang-pejuang UMNO, kerana UMNO sekarang tiada masa untuk bermusuh sesama sendiri demi kepentingan rakyat.


Tiga Sayap UMNO Terengganu Nyatakan Sokongan Kepada Menteri Besar Baharu


KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Tiga sayap UMNO Terengganu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Terengganu Datuk Fatimah Hamat berkata Wanita sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan asalkan ia memberi penambahbaikan kepada parti.
“Wanita UMNO negeri akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Razif dalam masa terdekat bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau dan ia adalah rutin biasa setiap kali berlaku pertukaran Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai usaha sayap parti itu yang mempunyai 89,030 anggota seluruh negeri dalam menangani kemelut politik di Terengganu ketika ini, Fatimah berkata pihaknya sudah turun padang dan memberi penerangan.

“Kita sudah memberi penerangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan berjumpa dengan anggota parti di peringkat akar umbi dan Alhamdulillah, mereka boleh menerimanya,” katanya yang telah berkhidmat sebagai ketua sayap itu dengan dua Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu Mohd Johari Abu Bakar berkata sayap itu akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan pelantikan ini menjadikan UMNO lebih kuat dan stabil.

“Bagi Pemuda, kami menerima sepenuhnya keputusan ini dan berharap rakyat dapat menerimanya dengan hati terbuka.

“Pelantikan ini menjadikan politik di Terengganu bertambah matang, walaupun ada sedikit kekalutan pada awalnya dan ini merupakan suntikan baharu bagi Pemuda,” katanya.

Johari berkata Pemuda UMNO Terengganu dengan 58,959 anggota sentiasa bersiap sedia untuk menerima apa jua arahan untuk gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu Rozita Ismail pula berkata sayap parti itu berharap Menteri Besar yang baharu dapat memperkenalkan pelbagai dasar dan program baharu untuk terus menarik keanggotaan sayap itu yang kini mencecah hampir 40,000 orang di seluruh negeri itu.

“Insya-Allah, kami memberi sokongan padu kepada beliau (Ahmad Razif) agar memastikan keutuhan parti dalam memastikan kebajikan rakyat tetap diutamakan,” katanya.

Sunday, 4 May 2014

Zahid bidas Obama: Tiada penindasan agama di Malaysia


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.

Menteri Dalam Negeri itu berkata peluang yang adil dan saksama diberikan kepada semua agama dan semua penganut agama sememangnya tidak menghadapi apa-apa kekangan mengamalkan agama di negara ini.

"Kita berikan peluang yang sama kepada bukan Islam dan kerajaan Malaysia berlaku adil kepada semua agama.

"Saya tidak fikir ada halangan untuk mengamalkan agama di sini. Berat sebelah dalam agama perlu dijauhi kerana kita perlu menghormati agama lain supaya agama lain menghormati agama kita,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Bengkel Keadilan Jenayah Penyeludupan Manusia kali ke-4 Asean di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Obama berkata, Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara ini mahu terus makmur.
Katanya, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian.

“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil, Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas,”  katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian hudud yang akan dibentangkan kerajaan negeri Kelantan di Parlimen, Zahid berkata mereka perlu serius dan melihat segala implikasi sebelum melaksanakannnya.

Katanya, pindaan terhadap Perlembagaan perlu dilakukan dan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Bukan mudah untuk melakukan sesuatu hukuman hudud, walaupun kita tidak harus menolak hudud. Harus kita ketahui hudud adalah salah satu elemen dalam banyak perundangan Islam.

“Ia bukan sahaja melibatkan pelaksanaan perundangan oleh pihak polis dan badan lain. Ia tidak semudah selepas ayam berkokok, mereka boleh melaksanakannya,”katanya.

Naib presiden Umno itu berkata selepas 20 tahun, enakmen negeri mengenai hudud diluluskan kerajaan negeri, namun pelbagai kekangan dihadapi sehingga ke hari ini, perundangan Islam itu masih gagal dilaksanakan.

Katanya, pelaksanaan dan dasar hukuman hudud perlu diteliti kerajaan negeri Kelantan sebelum keputusan lanjut dibuat untuk membentangkannya di Parlimen.

“Jelas selepas lebih 20 tahun mereka dengar ayam berkokok setiap pagi, ia masih belum dapat dilaksanakan.

“Kita tidak menolak. Aspek perundangan dan pelaksanaan harus diteliti. Undang-undang itu harus tidak lari daripada undang-undang Islam keseluruhannya dan supaya tidak menjadi rancangan ‘flip flop’ dan disanggah oleh orang lain,” katanya.

Ketika ditanya media, apakah pandangannya secara peribadi mengenai undang-undang hudud, beliau berkata: “Pendirian saya sama dengan pendirian kerajaan".

UMNO Kelantan giat beri penerangan hudud

MACHANG 4 Mei - Sebahagian daripada 240,000 anggota UMNO di negeri ini telah mula mendapat penjelasan lebih terperinci tentang hukum hudud yang bakal dilaksanakan kerajaan Pas Kelantan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini adalah hasil daripada sesi penerangan khusus pemimpin UMNO yang dibuat secara berterusan di semua peringkat bahagian.

Beliau berkata, sesi penerangan itu dibuat memandangkan masih ramai yang tidak faham tentang hukum hudud yang bakal dilaksanakan.

"Dalam hal ini, UMNO Kelantan mendahului pihak lain dalam usaha memberi penerangan tentang hukum itu di Kelantan.

"Saya dapati ada dalam kalangan rakyat yang kurang memahami tentang hukum hudud dan ini adalah peringkat pertama kita laksanakan supaya mereka lebih mengetahui dengan terperinci.

"Saya yakin keseluruhan anggota UMNO akan memahaminya secara mendalam dalam tempoh terdekat memandangkan sambutan hangat dalam majlis-majlis yang dianjurkan di peringkat bahagian," katanya.

- UTUSAN ONLINE