Sunday, 13 April 2014

Tahniah Rakyat Pulau Pinang - Tarif Air Naik Lagi


Cadangan Kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan kadar tarif air di negeri ini terus mendapat bantahan pelbagai pihak apabila sekumpulan penduduk yang menggelarkan diri mereka 'Himpunan Anak-anak Penaga' berkumpul secara aman membantah cadangan itu hari ini.
    
Wakil kumpulan itu, Mohd Sukor Md Yusof, 42, berkata cadangan menaikkan kadar tarif air itu hanya menambah beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Selama ini pun, rakyat sudah dibeban dengan caj perkhidmatan air selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menaikkan surcaj pemuliharaan air (WCS) sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2013.

"Sekarang kadar tarif air pula mahu dinaikkan sebanyak 100 peratus yang dijangka hujung tahun ini, ia sangat membebankan pengguna terutama mereka yang mempunyai keluarga besar," katanya kepada pemberita selepas bantahan aman itu di Kepala Batas.

Bantahan oleh kira-kira 40 penduduk jati Penaga diadakan di kawasan pekan Penaga di sini dengan sebahagian mereka memegang sepanduk membantah cadangan kenaikan tarif air itu.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri  memberi kebenaran kepada PBAPP untuk menjalankan kajian mengenai kenaikan tarif air sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan penggunaan air di Pulau Pinang, yang mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia.

Lim yang juga pengerusi PBAPP berkata sekiranya tarif air di negeri ini dinaikkan, kadarnya masih merupakan yang terendah berbanding di negeri lain, iaitu RM0.31 bagi setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter pertama.

Menurutnya langkah pendidikan dan surcaj penjimatan air yang dikenakan sebagai hukuman ke atas pengguna sebelum ini, gagal membendung sikap pembaziran air di negeri ini.

Mohd Sukor turut mendesak kerajaan negeri supaya menghapuskan surcaj WCS itu kerana ia mengakui bahawa kaedah itu gagal mendidik rakyat berjimat dalam menggunakan air.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mungkir janji apabila cuba menaikkan tarif air kerana menerusi manifesto yang dilancarkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, ia menyatakan tiada kenaikan kadar caj perkhidmatan air di negeri ini.

Bernama

tahun 2013 - kerajaan DAP Pulau Pinang sudah menaikkan tarif air dengan alasan menggalakkan penggunaan air dengan lebih bijak.

tahun 2014 - alasan sama turut digunakan seperti tahun sebelumnya..adakah pengguna Pulau Pinang masih "tidak bijak" dalam penggunaan air??

tahun 2015 - tarif air naik lagi??? sebab...penguna tidak bijak??..bijak-bijak!!!

Wednesday, 9 April 2014

HALA TUJU POLITIK KAUM CINA


ISU masa depan politik masyarakat Cina di Malaysia turut disentuh oleh Long Yan dalam akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 29 Mac 2014. Artikel bertajuk ‘Ke mana hala tuju politik orang Cina?’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman W3.

MCA telah ditubuhkan lebih 60 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu ia telah menjadi komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara.

Sebagai salah satu rakan kongsi penting dalam gabungan berkenaan, jasa MCA terhadap negara boleh dilihat di depan mata. Oleh itu, dakwaan MCA tidak menyumbangkan sebarang jasa walaupun sedikit adalah tidak betul. Ada ramai orang Cina terutama sekali generasi muda yang membuat dakwaan itu kerana melihat MCA gagal menyelesaikan masalah pendidikan Cina, kekurangan tenaga guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sijil sekolah menengah Cina tidak diiktiraf.

Mereka mendakwa kedudukan MCA yang hanya menjadi parti komponen utama tetapi tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan telah menyebabkan orang Cina di negara ini dilayan secara tidak adil.

Kepada orang Cina, kita ingin menanyakan adakah penilaian mereka terhadap MCA dibuat secara adil? Orang Cina yang menghentam MCA ini dengan bijak berhujah bahawa sebagai rakyat, mereka sepatutnya mendapat hak sama rata seperti kaum lain. Pandangan itu memang tidak salah dan kita tidak mempertikaikannya. Cuma kita mahu orang Cina yang berhujah sedemikian melihat daripada ruang lingkup lebih luas yang melibatkan kaum lain. Sebagai warganegara mereka juga berhak menuntut hak dan kepentingan kaum mereka.

Contohnya, kita menghentam Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebagai seorang fanatik. Sebenarnya apa yang dilakukan beliau hanyalah mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau menuntut keadilan sama seperti yang diminta oleh orang Cina, jadi kenapa pula kita tuduh beliau fanatik?

Jika dikaji secara mendalam, Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang mewakili orang Melayu dengan sebahagian kepimpinannya juga adalah terdiri daripada golongan cerdik pandai dan intelektual kaum itu. Kenapa mereka tidak dihormati seperti yang sepatutnya mereka dapat?

Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pihak pembangkang dalam kempen mereka telah meletakkan calon BN daripada MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun setaraf dengan pemimpin Perkasa. Isu itu dijadikan sebagai senjata pembangkang untuk menghentam MCA. Tindakan pihak pembangkang khususnya politikus Cina berkenaan adalah lebih menjurus kepada menghasut dan membangkitkan emosi kaum itu.

Yang lebih pelik lagi, kenapa politikus berkenaan diberi sokongan oleh masyarakat Cina. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemikiran orang Cina sekarang yang perlu diubah.
Nasihat kita kepada orang Cina, mereka hendaklah menghormati hak kaum lain seperti yang termaktub di bawah undang-undang dan dalam Perlembagaan negara. Tidak kira gabungan parti mana yang memerintah negara, ia sudah pasti tidak boleh melanggar batasan undang-undang berkenaan.

Dalam keadaan yang terbatas itu, perlu ada pemimpin luar biasa dan bijak yang boleh memastikan setiap kaum diberikan hak masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita sudah tentu tidak memerlukan pemimpin tangkap muat yang hanya bijak berpidato dan berkata-kata sahaja.
Jika kita lihat pemimpin Cina sama ada daripada BN atau pembangkang, belum ada lagi individu yang terbilang seperti itu. Ramai pemimpin Cina sekarang hanya bijak menyalakan api, tetapi tiada seorang pun yang boleh menjadi penyuluh jalan kepada kaum itu.

Cukup dikesalkan kerana orang Cina kini menganggap pemimpin yang pandai bermain api itu adalah penyuluh jalan kepada mereka. Kaum berkenaan juga menganggap pemimpin politik yang sering menghentam MCA itu adalah penyelamat mereka. Jika itulah yang menjadi pendirian, kita mahu orang Cina keseluruhannya secara rela hati dan jujur menjawab ke manakah hala tuju politik kaum berkenaan?

DIPETIK DARIPADA ISU-ISU AKHBAR CINA- SUMBER: UTUSAN MALAYSIA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140410/re_07/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2yRlMCewR
© Utusan Melayu (M) Bhd